PERUTUSAN YANG DIPERTUA


Assalamualaikum Warahmatullhiwabarakatuh

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya serta berkat kerjasama erat ahli-ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia, dapat kita melaksanakan aktiviti Persatuan seperti yang dirancang.

Pertama, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli kerana memberi kepercayaan kepada Universiti Utara Malaysia yang dilantik sebagai Yang **Dipertua** Persatuan bagi sesi 2006-2008. Dengan bantuan dan UiTM selaku Naib Yang Di Pertua dan ahli-ahli Jawatankuasa yang lain, insya'allah, kami akan cuba merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persatuan.

Di dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lalu, Ahli Jawatankuasa bersetuju merombak semula potfolio jawatankuasa kecil menjadi Jawatankuasa Kecil : Kebajikan; Latihan Pengurusan; Pembangunan & Infrastruktur; Pembangunan Sumber Manusia; Pentadbiran & Kewangan; Sukan; dan Teknologi Maklumat. Jawatankuasa Kecil Pelaburan diletakkan di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Kecil Pentadbiran & Kewangan, selain daripada tugas-tugas semasa yang sedia ada.

Dua (2) jawatankuasa baru telah diwujudkan. Jawatankuasa Latihan Pengurusan berperanan untuk menguruskan aktiviti latihan kepada Kumpulan Pengurusan Atasan dan Kumpulan Pengurusan & Profesional Badan Berkanun, sementara Jawatankuasa Pembangunan & Infrastruktur pula bertanggungjawab di dalam aspek pemilikan aset dan menyediakan kemudahan infrastruktur Persatuan. Jawatankuasa Kecil Sukan & Kebajikan pula dipecahkan kepada dua potfolio, supaya setiap ahli jawatankuasa tertinggi dapat menyumbang dan memainkan peranan yang lebih fokus terhadap kegiatan dan aktiviti Persatuan. Jawatankuasa Kecil Pembangunan Sumber Manusia akan terus memberikan latihan kepada kakitangan Sokongan Badan Berkanun. Di dalam dunia yang serba maju, peranan teknologi maklumat dan komunikasi akan terus dipergiatkan dan mejadi salah satu fokus utama aktiviti Persatuan.

Dengan ini saya mengucapkan SELAMAT DATANG kepada semua pihak yang melayari LAMAN PERSATUAN BADAN BERKANUN MALAYSIA.

Y.Bhg. Tan Sri Dato' Dr. Nordin Kardi
Yang Dipertua 

PERSATUAN BADAN BERKANUN MALAYSIA