Pelaksanaan Sukan Persatuan Badan Berkanun (SUKANUN 2023) telah berjaya dianjurkan pada 3 – 10 September 2023 bertempat di UiTM Kampus Arau, Perlis Indera Kayangan. SUKANUN 2023 dikelola oleh Jawatankuasa Kecil Sukan & Rekreasi PBBM bagi penggal 2022-2024 yang merangkumi 10 agensi iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Sukan Negara (ISN), Bank Simpanan Malaysia (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Universiti Islam Malaysia (UIAM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Sejumalh 60 agensi badan berkanun telah mengambil bahagian (penarikan diri oleh Maiwp di saat-saat akhir sebelum kejohanan bermula) ini melibatkan 5050 atlit, 813 pegawai sukan, 260 sukarelawan dan sekretariat kejohanan yang mewakili kontijen seluruh negara. Mempertandingkan 22 acara sukan bagi SUKANUN 2023 kali ini dengan memperkenalkan acara sukan baharu kepada kontijen iaitu, acara sukan hoki dewan, petanque (L & W) dan acara berbasikal criterium. SUKANUN 2023 berpaksikan kepada tunjang matlamat dan objektif Persatuan iaitu memberi ruang kepada staf untuk mengetengahkan bakat sukan untuk dipersembahkan di dalam kejohanan, selain itu juga merapatkan hubungan silaturrahim antara semua agensi melalui pelaksanaan sukanun ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis dengan dihadiri Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) YBhg, oleh dif-dif kehormat dan Ketua-ketua Agensi bertempat di Kompleks Utama Sukan UiTM Arau, Perlis pada 6 September 2023. Manakala majlis penutup SUKANUN 2023 telah disempurnakan oleh Prof Madya Ts. Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Arau selaku tuan rumah kejohanan pada 9 September 2023.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Kontijen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKANUN 2023. Naib Juara disandang oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menduduki tempat ketiga. Adalah diharapkan penganjuran SUKANUN ini dapat diteruskan dimasa hadapan sebagai satu ‘platform’ perpaduan antara peserta -peserta mahupun atlit dalam kalangan agensi Badan Berkanun yang mengambil bahagian selain menjadi landasan terbaik untuk kakitangan dan ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia menilai bakat bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Penganjuran Sukanun ini juga sedikit sebanyak membuka peluang kepada sektor pelancongan, ekonomi dan perniagaan kepada masyarakat sekitar.

Adalah diharapkan dengan penganjuran Sukanun ini jelas untuk melahirkan semangat kesukanan yang tinggi dan menjadi asas bagi meningkat keharmonian dalam kalangan atlet selaras dengan dasar sukan negara untuk membentuk masyarakat aktif, sihat dan cergas.